Random Posts

Header Ads

''Dalam dua tahun lebih itu, bukan kerana satu sebab, mungkin 20 sebab'' - Lebih Pendedahan Mengejutkan Datuk Seri Vida Tentang Punca Penceraian

loading...

MENGACAH seorang teman, “Jika diberi peluang bertanya satu hal kepada Datuk Seri Vida (DS Vida), apakah soalan yang mahu ditanya?” Teman itu, (hmmmm, lelaki muda ya, dan tahulah saya bahawa ramai sungguh peminat lelaki yang memuja ahli perniagaan tersohor ini). Sepantasnya si teman menjawab soalan saya “Aku akan tanya soalan paling panas, bercerai dan berkahwin banyak kali, dia layak digelar setaraf Elizabeth Taylor Malaysia. Aku nak tahu, apa perasaan dia ya?”

Nah, itu juga soalan yang saya pinjam daripada teman tersebut untuk disuakan kepada DS Vida dalam pertemuan mata bertentang mata kami ini.

Tetapi sebelum itu, saya basa-basi dahulu. Bertanya tentang perniagaan dan cabaran yang diterimanya, ini soalan mengenakan. Sedangkan saya pasti, DS Vida sendiri sangat tahu kenapa dan mengapa kami mencarinya sehingga ke Ipoh, Perak beberapa hari yang lalu. Nakal saya bertanya, kerana pasti semua pembaca kami mahu tahu tentang itu. Dalam masa sebulan, berapakah kos yang diperlukan untuk menampung kehidupan dan perniagaan seorang DS Vida?

“Overhead saya sahaja sekitar RM3 juta setiap bulan. Itu untuk menguruskan syarikat, pekerja dan segala aset-aset. Sebab itu, bercerai ke, jatuh terduduk ke, saya tak boleh lama sangat fikir. Menangis pun sekejap sahaja, lepas tu tak boleh layan sangat perasaan. Jiwa dan emosi perlu bertahan dan pandang ke depan, sebab saya tidak mahu hancurkan apa yang sudah saya ada dan bina dengan gigih selama ini” katanya, lancar.

Sekitar 15 minit berbual, kisah tentang hati yang hancur, jiwa yang tersepit dalam cinta yang tidak menjadi mengambil ruang bicara. Dia kelihatan begitu reda akan kehilangan lelaki bergelar suami buat kali ketiganya.

“Beginilah kehidupan saya. Inilah saya, inilah dunia saya. Jadi isteri orang ke, jadi janda ke, apa yang penting bagi saya adalah perlu terus kuat. Saya kena gagahkan diri demi kerana aset-aset yang telah saya bangunkan selama 16 tahun ini. Hendak menangis buat apa? Air mata saya pun sudah tidak ada lagi untuk menangis,” demikian, dia memulakan cerita 'bab' itu.

Sama seperti ahli perniagaan berjaya lain, baginya meneruskan kegemilangan hari ini tidak semudah menggapai. Apabila berada di puncak, jatuh terduduk ke bawah adalah ruang ketakutan terhebat, sementelah pada ketika tanggungjawab sebesar gunung-ganang tergalas pada pundaknya.

Elizabeth Taylor? katalah......

Bercerai kali ketiga, dan empunya diri sudah mengesahkan, kali ini lukanya bagaimana ya? Apakah masih tajam dan menikam seperti sebelum ini, meskipun telah tiga kali dilalui? Dia seketika diam. Berfikir barangkali, untuk menjawab dengan sehabis baik, sebelum membetulkan duduk kerusi di meja kerjanya.

“Bercerai berkali-kali, itu takdir saya, orang lain tidak rasa apa yang saya rasa. Saya tak salahkan orang kalau mereka tidak faham, hanya saya yang tahu apa rasa yang ada di dalam dada,” tuturnya dalam bahasa yang seketika sedikit layu, membumi.

Menurut DS Vida, perkahwinan pertamanya menyebabkan dia lama hidup sendiri, sekitar lapan tahun. Hanya pada awal 2014 baru hatinya kembali terbuka untuk menerima cinta lelaki, pun hanya bertahan beberapa bulan.

“Sudah tentulah saya malu kerana hajat untuk berkahwin itu datang selepas terlalu lama hidup seorang diri. Tetapi akhirnya ia tidak seperti yang saya impikan, lalu kami berpisah sajalah. Sekejap sahaja berkahwin, saya tidak malu untuk mengakhiri pernikahan itu. Saya tidak mahu menyeksakan diri sendiri hanya kerana mahu menjaga rasa ‘malu’ itu,” katanya.

Perkahwinan ketiga pula berlangsung hujung 2014, tetapi takdir cintanya tidak juga kekal berpanjangan. Kelmarin, Mahkamah Syariah Ipoh mengesahkan perceraian DS Vida dengan Fairuz Ahmad Zainuddin.

“Dalam perkahwinan ketiga tu, saya pernah merasakan seolah-olah dia tercipta untuk saya. Saya sangat sayangkan dia sehingga saya anggap dia memang dijadikan untuk saya. Wahhhhhh! Tetapi siapa tahu, kami bercerai juga.

"Tidak pernah ada mana-mana perempuan yang ingin tewas dalam pernikahan, apatah lagi ini kali ketiga. Jangan tanya perasaan saya, jiwa saya bagaikan kering dan kontang. Setiap kali bercerai, saya akan merasakan sunyi, sepi. Saya jadi takut hendak bertemu dengan 'malam hari' kerana ketika itu kita akan duduk seorang diri. Saya takut untuk hidup seorang sebenarnya, tetapi Allah sudah kata ini takdir saya, kena kembali ke alam sunyi itu semula ,” katanya dalam sebak yang ditahan-tahan.

Kisah perceraian ketiga ini tidak mahu dia luncurkan lebih jauh. Apa yang penting buat dirinya ialah, bergerak ke hadapan, jaga peribadi.

“Move on Vida, move on! Emosi, spiritual perlu distabilkan semula. Saya bernasib baik kerana dalam apa juga keadaan, Allah ada bersama-sama dengan saya, Dia membantu saya. Jika saya jenis yang lupakan Dia, saya sendiri tidak tahu apa akan jadi.

“Nekad? Kena nekad, kuat dan pasrah, tetapi bukan menyerah. Saya memang seorang yang suka berjuang tetapi saya perlu berjuang untuk benda yang bermanfaat. Dalaman kena kuat. Be a strong person,” tuturpemilik nama sebenar Hasmizah Othman ini.

Disamakan dengan Elizabeth Taylor, berkahwin dengan lelaki muda, stigma DS Vida dan bagaimana menerima tujahan ini?

"Oh, dia lagi banyak. Apapun, tak kisahlah kata apapun. Saya telan dan hadap sajalah sebab tak kena kepada mereka. Buat apa orang hanya nampak kita bahagia dengan suami, sedangkan ia hanya berselindung, nak jaga hati orang lain? Daripada terus bersama, baiklah lepaskan sahaja."

Mengakui bahawa tiga perkahwinan yang gagal itu punya cerita yang tersendiri, pun dia tahu, selagi diri sendiri berada atas landasan ‘suci’, jalan yang terang dan baik-baik sahaja akan menanti di depan mata. Suci pada maksudnya di sini ialah tidak curang, tidak berbuat jahat dan tidak menduakan lelaki yang dikahwininya sepanjang dalam tempoh pernikahan.

“Apabila kita tahu kita seorang yang suci, tidak curang, hanya buat perkara yang betul sahaja, kita tidak akan mudah tewas dengan rasa bersalah. Ya, saya anggap diri saya sebagai seorang isteri yang sangat setia dan mithali, apa lagi yang dia hendak? Cuma mungkin kita tidak boleh memasak setiap hari, itu sahaja silap saya, tetapi akhirnya bercerai juga, siapa sangka?” katanya.

Duit mampu beli cinta


Sengaja mengajak dia berbicara tentang erti cinta. Dengarnya macam tidak sesuai, dihadap soalan itu pada ketika dia masih dalam tempoh bertenang sebegini. Apakah seorang DS Vida itu bersetuju dengan pepatah bahawa duit tidak boleh membeli bahagia, tidak boleh membeli cinta? Dia adalah monumen tegak berdiri, contoh wanita kaya-raya, duit berkepok, tetapi sering kali bernasib malang dalam episod cinta dan perkahwinan.

Dalam ketawa kecil dia menjawab mudah. Begini.

“Pada saya boleh juga hendak beli. Tetapi bahagia yang subjektif. Bahagia rumah tangga, ada orang boleh beli, tabur duit jadi bahagia. Tetapi sekarang ni, kita tabur pun tak bahagia juga, macam mana tu? Cuma ia mengajar saya, lain kali carilah pasangan yang sekufu dengan kita, itu pengajaran buat saya."

Pancaindera tanya, DS Vida jawab:

Punca sebenar bercerai, boleh kongsi?


Saya percaya ada sebab Tuhan tak izinkan rumah tangga kami diteruskan. Jangan tanya sebab musababnya, macam-macam. Dalam dua tahun lebih itu, bukan kerana satu sebab, mungkin 20 sebab, kita tak tahu. Saya tak ralat, ini ujian Allah belaka ni.

Dua suami terkemudian tak mampu pergi lama, apakah faktor umur jauh berbeza?

Umur tidak jadi masalah sebab saya tidak pernah rasa tua. Saya memang cari orang muda sebab saya tak rasa diri ini sudah tua. Saya muda sokmo (selalu).

Cara melepaskan tekanan dalam keadaan seperti ini?

Oho, sudah tentulah dengan membeli-belah. Lagi banyak beli, lagi sejuk hati tu. Tetapi yang lebih penting lagi, malam-malam saya akan bermunajat. Saya jenis tidur lewat. Tidur sekejap, bangun balik untuk bermunajat kepada Allah. Saya adu segala-galanya kepada Dia, kemudian saya akan tidur semula selepas subuh. Sehari saya cuma tidur lima jam sahaja. Tetapi peliknya, kalau orang lain tak tidur kurus, tetapi saya tetap macam ni....Hahaha!”

Gagal buat kali ketika, serik untuk berkahwin lagi?


Tak ada istilah serik. Hidup kena ada pasangan, tetapi perlulah berhati-hati. Jalan hidup kita, bukan kita yang pilih, sudah ditentukan. Kita hanya boleh berdoa yang baik-baik sahaja. Pengajaran untuk saya, carilah jodoh biarlah sama cara berfikir. Itu penting untuk kita saling memahami dalam rumah tangga.



Sumber asal: Utusan Online
loading...
''Dalam dua tahun lebih itu, bukan kerana satu sebab, mungkin 20 sebab'' - Lebih Pendedahan Mengejutkan Datuk Seri Vida Tentang Punca Penceraian ''Dalam dua tahun lebih itu, bukan kerana satu sebab, mungkin 20 sebab'' - Lebih Pendedahan Mengejutkan Datuk Seri Vida Tentang Punca Penceraian Reviewed by Hi Viral on 9:11 PTG Rating: 5

Tiada ulasan