Ameng Tiada Semangat Teruskan GV3, Hairan Belum Tersingkir
loading...
PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Spring iaitu Ameng berasa hairan kenapa dia masih terselamat daripada disingkirkan daripada Gegar Vaganza 3 (GV3) walaupun melakukan kesilapan lupa lirik ketika mengadakan persembahan.Ameng atau Wan Aminuddin Wan Ismail, 47, berkata, dia menjangkakan namanya akan diumumkan sebagai peserta tersingkir malah sudah bersedia meninggalkan pertandingan itu.
"Saya sendiri pun hairan kenapa saya masih belum tersingkir walaupun sudah dua kali saya buat kesilapan lupa lirik sebelum ini.
"Sebenarnya minggu ini saya sudah agak akan terkeluar kerana kesilapan lupa lirik tetapi nampaknya rezeki saya masih di sini untuk bertanding," katanya kepada mStar Online.
Pada konsert minggu kelima itu, Ameng menyampaikan lagu nyanyian asal Kris berjudul Tiara namun dia terlupa lirik dan ramai menjangkakan dia akan tersingkir pada pertandingan itu.
Bagaimanapun pesaingnya, Shidi daripada kumpulan Data diumumkan sebagai peserta tersingkir.
Dalam pada itu, Ameng berkata, punca dia terlupa lirik kerana sikapnya yang tidak pernah serius ketika menyanyikan lagu milik penyanyi lain.
"Saya ingat lirik lagu itu tetapi mungkin kerana sikap tidak ambil berat dan ambil mudah menyebabkan saya jadi lupa.
"Ia bukan kesalahan orang lain sebaliknya kelemahan itu adalah daripada diri saya sendiri dan sebab itu saya pelik apabila masih bertahan," katanya.
Sementara itu, Ameng mengakui berasa tertekan sejak menyertai GV3 sehingga berharap dia tersingkir kerana merasakan tidak dapat meneruskan perjuangan dalam program itu.
Kata Ameng, komitmen dan jadualnya yang padat membuatkan dia berasa tidak bersemangat dan yakin akan terus melakukan kesalahan selepas ini.
"Jujurnya sebelum menyertai GV3 hidup saya tenang tetapi sekarang saya sering tertekan mungkin kerana faktor usia dan tidak lagi mampu bekerja terlalu keras.
"Saya yakin akan melakukan kesalahan sama lagi selepas ini kerana saya tahu kemampuan saya berada di tahap mana sekarang.
"Komitmen lain dan jadual padat setiap hari turut menambahkan tekanan sehingga saya berharap terkeluar kerana ingin meneruskan kehidupan," jelasnya.
Bagaimanapun kata Ameng, itu tidak bererti dia akan berputus asa sebaliknya peluang diberikan oleh pihak juri akan disahut dengan baik.
"Seperti peserta lain saya juga ingin bergelar juara cuma apabila ia mendatangkan kesusahan kita harus tahu bila hendak berhenti.
"Tetapi saya tidak pernah berputus asa dalam hidup dan peluang meneruskan perjuangan dalam GV3 akan tetap saya teruskan," katanya.
loading...
Ameng Tiada Semangat Teruskan GV3, Hairan Belum Tersingkir
Reviewed by Hi Viral
on
8:23 PG
Rating:
Tiada ulasan